Abdul Latiff bin Haji Mohidin (A. Latiff Mohidin, Alma ) dilahirkan pada 20 Ogos 1938 di Seremban, Negeri Sembilan. Anak kepada bekas syeikh haji ini awal-awal lagi telah memperlihatkan bakat seninya. Sewaktu berumur sembilan tahun, beliau telah pun mencipta beberapa lukisan cat minyak. Pada awal tahun 1960-an, Latiff telah menunjukkan pula kebolehan yang lain, iaitu menulis puisi.
Latiff menerima pendidikan awalnya dari Sekolah Melayu Lenggeng hingga lulus darjah IV. Sesudah itu, Latiff menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja dan Mercantile Institution, Singapura. Kemudian pada tahun 1954, beliau kembali ke Seremban dan belajar di Sekolah King George V dengan biasiswa kerajaan negeri, hinggalah lulus School Certificate pada tahun 1959. Pertengahan tahun 1960, Latiff meninggalkan tanah air untuk menuntut di Academy of Fine Arts , Berlin , Jerman selama empat tahun dengan biaya pemerintah Republik Persekutuan Jerman.
Sehingga tahun 1971, Latiff cukup banyak mengembara sambil memperluas pengalaman dan mencipta pelbagai bentuk seni terutamanya seni lukis. Hasil ciptaannya telah dipamerkan dari semasa ke semasa sama ada pameran secara perseorangan ataupun bersama, baik di dalam mahupun di luar negeri. Sewaktu belajar di Berlin , Latiff sempat melawat seluruh Eropah Barat dan selepas itu ke beberapa buah negara Asia Tenggara. Dalam tahun 1969, Latiff mendapat hadiah (grant) dari Kementerian Kebudayaan Perancis untuk mengikuti kursus seni goresan di Atelier La Courrier, Paris dan kemudian ditawarkan pula Biasiswa Rockefeller untuk meneruskan kursus yang sama di Pratt Graphic Centre, New York , Amerika Syarikat yang diakhiri dengan lawatan seni sekeliling dunia.
Dalam perjalanan dalam tahun-tahun 1960-an inilah Latiff mulai menghasilkan beberapa buah puisi, termasuk sebuah puisi yang terkenal iaitu “Sungai Mekong” yang kemudian menjadi judul kumpulan puisinya yang pertama.
Latiff mencipta dalam satu era pembangunan dan modenisasi yang telah bebas daripada tekanan pentadbiran kolonial dan justeru suasana yang begini memberikannya lebih banyak perhatian terhadap masalah pertumbuhan peribadi daripada masalah sosiopolitik. Latiff ialah penulis yang tumbuh dengan pendidikan moden yang liberal dan oleh sebab beliau ialah pelukis-penyair yang paling banyak mengembara di Eropah dan Asia , maka Latiff berkesempatan pula berkenalan dengan tradisi dan sastera dunia yang beragam.
Puisi-puisi Latiff tidak bertujuan membicarakan sistem atau ideologi yang besar kerana ia lahir terus daripada sumber batin dan pengalaman sehari-hari peribadi penyair sendiri. Sia-sia sahaja jika kita mahu mencari masalah “pertentangan kelas, penindasan kebebasan atau pesanan pembangunan” di dalam puisinya. Yang mengalir dalam puisinya ialah kesan-kesan perasaan, kenangan mimpi dan lapisan pengalaman melalui imaginasinya. Pembaca juga akan menemui banyak sekali imejan benda-benda yang biasa dan unsur-unsur yang lumrah seperti tiket, surat , sotong, burung gagak, cicak, dan sungai. Latiff tidak menampilkan benda dan unsur tersebut dengan terperinci sebagai gambar yang mati. Beliau berusaha melampaui garis kenyataan dengan tenaga imaginasinya serta melihat pelbagai kemungkinan getar peristiwa yang wujud di sebalik benda-benda dan unsur-unsur alam tersebut.
Latiff dapat dianggap sebagai penyair yang banyak mengelakkan diri daripada memperkatakan masalah politik dan kemasyarakatan dalam puisinya. Latiff lebih gemar mendekatkan dirinya kepada alam dan tata jalur kejadiannya. Dalam puisi-puisinya boleh ditemui suara hatinya sebagai seorang pengembara yang mencari erti kehidupan dan yang selalu ingin menyebatikan jiwanya dengan anasir-anasir alam. Di samping membawa kelainan tema pengucapan Latiff yang segar, dapat disamakan dengan kesegaran sebuah lukisan, penuh aneka palitan warna dan tafsiran.
Sungguhpun demikian Latiff cukup mengerti dan toleran terhadap “kesusasteraan yang komited” yang menjadi ciri penting dalam suasana kreatif di Malaysia. Diksi puisinya daripada bahasa dan kata-kata biasa yang diolah sepenuh dan sedapat mungkin bagi pengucapan isi jiwa dan fikirannya. Puisi Latiff padat, ekonomis kata-kata, berbaris pendek dan pada beberapa karyanya terlihat ‘bentuk-bebas’ yang menekankan kesan visual. Penekanan kesan visual ini hasil kemungkinan bentuk daripada `puisi konkrit’ Eropah, ‘canggahan kata’ pepatah Minang dan seterusnya daripada `sketsa budaya’ yang memang menjadi sebahagian daripada kehidupan seni kreatif Latiff sendiri.
Walaupun Latiff berhasil menggunakan bentuk bebas secara matang, tetapi puisinya tetap merupakan pengucapan jiwa manusia Timur yang masih erat dengan kekayaan dan keindahan alam sekitar. Meskipun melalui kata-kata, Latiff tidak menyatakan secara jelas pemberontakannya terhadap hal-hal yang lazim dan mundur, tetapi daripada cara dan gaya berpuisi beliau sebenarnya telah pun menyatakan sikap dan pendiriannya yang tersendiri itu.
Sehingga kini, puisi-puisi Latiff telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jerman, Itali, Danish, dan Tamil. Terjemahan Inggeris banyak dilakukan oleh Adibah Amin dan Mansor Ahmad Saman.
Rasanya pembicaraan tentang Latiff ini tidak akan lengkap tanpa menyentuh secara umum penglibatan Latiff dalam dunia seni lukis kerana bidang ini juga adalah sebahagian daripada kehidupannya. Latiff pernah menyebut bahawa: “Umumnya seniman moden dari Asia memang mempunyai kebolehan untuk mempelajari pengolahan teknik dari Barat, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana memperlihatkan keaslian, kesungguhan, dan kesegaran berkarya”.
Antara tahun 1962 dan 1983, Latiff telah beberapa kali mempamerkan hasil karya seni lukisnya, antaranya termasuklah di Bona, Berlin, Frankfurt, Hamburg, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London, selain Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur. Sebagai pelukis. Latiff pernah dianggap pelukis abstrak Malaysia yang mencerminkan pengertian terhadap alam setempat seperti mana yang terlihat dalam siri “Pago-Pago”nya.
Seperti juga dalam puisinya, pencarian Latiff terhadap `daerah tempatan’ menariknya ke arah alam dan kita dapati baik sebagai pelukis ataupun penyair, beliau adalah seniman yang cukup mesra dengan lingkungan semula jadinya.
Dari tahun 1963 hingga tahun 1969, Latiff amat giat dan tekun mencipta, merangkumi tiga bidang seni yang berlainan dalam pengucapannya. Dalam lukisan minyaknya, ukiran arcanya dan goresan cetaknya terdapat keselarasan yang luar biasa terhadap saluran-saluran yang berlainan alat atau bahan. Melalui siri-siri ciptaannya, “Pago-Pago”, “Mindscape” dan “Langkawi”, menjadikan Latiff seorang tokoh pelukis penting di negara ini.
Selain kegiatan mencipta puisi dan lukisan, Latiff pernah menjadi pemimpin tidak rasmi sekumpulan anak muda yang berbakat seni, yakni kumpulan “Anak Alam” di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur . Selepas berumah tangga, Latiff telah diberikan penghargaan sebagai Fellow Kreatif dan Seniman Tamu, masing-masing di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1977 – 1979) dan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (1980).
Latiff pernah memenangi berbagai-bagai hadiah utama sastera, terutama Hadiah Karya Sastera/Hadiah Sastera Malaysia sejak tahun 1971. Beliau memenangi Anugerah Puisi Putera 1 anjuran Bank Bumiputera dan GAPENA. Pada tahun 1984, Latiff terpilih mewakili Malaysia menerima S.E.A. Write Awards di Bangkok. Mulai tahun 1986, Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberi penghormatan kepada beliau menjadi penulis tamu dan untuk mengisi projek sebagai penulis tamu, Latiff telah menumpukan tenaganya kepada penulisan kembali pengalaman dan proses penciptaan seninya.
No comments:
Post a Comment